In: Berita Pemuda
16 Nov 2009Shah Alam — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak layak untuk menjadi penasihat ekonomi negeri Selangor kerana sejarah telah menunjukkan beliau gagal dan mudah tunduk kepada tekanan asing.
Justeru Pemuda UMNO Selangor yang diketuai Suhaimi Mohd Ghazali menyeru rakyat negeri terbabit menyatakan bantahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menolak perlantikan berkenaan.
Pelantikan itu juga tegas beliau menunjukkan ketidakmampuan Kerajaan Selangor untuk mentadbir dan menguruskan ekonomi sehingga terpaksa mengambil orang luar.
“Kenapa hanya lantik Anwar di Selangor? Sekiranya Anwar cukup hebat pakatan pembangkang sepatutnya lantik Anwar jadi penasihat di semua negeri pentadbiran mereka.
“Ini menunjukkan ada agenda tersirat di sebalik lantikan tersebut. Adakah ekonomi di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sudah cukup hebat berbanding Selangor”, katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau sejarah Anwar yang mudah tunduk kepada tekanan asing perlu dilihat secara mendalam agar ianya tidak kembali berulang khususnya menganggu gugat ekonomi negeri terbabit.
Tambah beliau lagi selain pelik, tindakan kerajaan negeri mewar-warkan elaun tetap Anwar RM1 juga memperlihatkan pelantikan itu tidak lebih sekadar satu gimik politik murahan.
“Kerajaan negeri sekarang lebih banyak buat gimik dari buat kerja. Sudahlah banyak janji masa pilihanraya lalu gagal dilaksanakan, dari segi ekonomi pun tiada perubahan.
“Sebagai contoh dulu Menteri Besar beri jaminan bahawa kerajaan negeri mampu mengutip RM150 juta hasil pasir setahun, namun apa yang berlaku sekarang kutipan sebanyak RM15 juta pun tidak mampu dibuat. Ini semua jelas hanya satu gimik dan temberang”, ujarnya.
Jumaat lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibarhim mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri Selangor dengan elaun bulanan tetap RM1.
Difahamkan Anwar akan diberikan satu ruang pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini bagi memudahkan tugas-tugasnya di Selangor.
Selamat datang ke laman web YBhg Hj Suhaimi, Ketua Pemuda UMNO Selangor.