In: Berita Pemuda
27 Oct 2009Kuala Lumpur – Kemelut dalaman Pas yang berlaku hari ini bukanlah satu perkara yang baru malah ia telah lama tercetus ekoran cita-cita besar kumpulan Edrogan yang cuba menguasai parti itu.
Sudah menjadi rahsia umum di Selangor misalnya pertembungan antara kumpulan Edrogran yang diketuai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali tidak pernah reda.
Justeru tidak hairanlah nama Dr Hassan Ali tersenarai antara pemimpin Pas yang bermasalah yang mahu disingkirkan pada Muktamar Agung Khas parti sepertimana yang dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Mengulas perkara tersebut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Ustaz Azmir Yuzaimi Yusof berkata kemelut yang berlaku di dalam Pas hari ini akan terus berpanjangan malah tidak mustahil Pas akan berpecah selepas ini sungguhpun pemimpin mereka mengatakan itu hanyalah satu masalah dalaman yang kecil.
Di Selangor kata beliau lagi Hassan Ali adalah penghalang terbesar kumpulan Edrogan dan kerana itu Pesuruhjaya Pas Selangor itu telah disifatkan sebagai pemimpin yang bermasalah yang mahu disingkirkan.
”Kita tidak mahu mencampuri urusan dalaman parti berkenaan cuma melihat dan memerhati daripada jauh. Apa yang kita nampak kumpulan Erdogan mula menunjukkan taring.
”Nik Aziz adalah alat kumpulan Edrogan ini untuk mencapai cita-cita mereka. Maka kita tidak terkejut jika Hassan Ali dan beberapa kerat lagi pemimpin kanan Pas lain yang tidak seangkatan dengan kumpulan Erdogan bakal menerima nasib yang sama”, katanya di sini, hari ini.
Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah.
Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.
Ketiga-tiga pemimpin terbabit dikatakan mewakili kumpulan yang menyokong cadangan Presiden, Datuk Seri Hadi Awang berhubung kerajaan perpaduan.
Manakala kumpulan Edrogan dikaitkan dengan kumpulan yang mempunyai hubungan rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mesra DAP.
Ustaz Azmir yang juga Ketua Pemuda UMNO Puchong seterusnya berkata Hasan Ali dan rakan-rakannya akan terus dihimpit oleh kumpulan Erdogan sehingga misi mereka selesai.
“Apa pun rakyat boleh melihat kemunculan episod baru dalam Pas yang selama ini mengutuk dan mencerca kita kononnya UMNO tidak akan lekang daripada masalah.
“Kita yakin bangkai gajah tidak akan mampu ditutup dengan nyiru. Lambat laun bau busuknya akan terhidu juga”, ujarnya.
Selamat datang ke laman web YBhg Hj Suhaimi, Ketua Pemuda UMNO Selangor.