In: Berita Pemuda
20 Jan 2010Shah Alam — Pemuda UMNO Selangor meminta kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang menghentikan sandiwara politik sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dijanjikan semasa pilihanraya umum lalu.
Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata pelbagai tekanan dan syarat yang dikenakan oleh kerajaan negeri terhadap segala perancangan dan pelaksanaan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor untuk pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), di atas tapak milik pertubuhan itu menunjukkan mereka bukan sahaja tidak perihatin terhadap soal pendidikan malah mengenepikan kebajikan rakyat.
Tegas beliau perkara itu amat bertentangan dengan slogan dan prinsip yang dilaung-laungkan oleh pakatan pembangkang yang digunapakai sewaktu kempen pilihan raya umum lalu.
“Ugutan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk merampas tanah berkenaan jika yayasan itu enggan bersetuju dengan syarat yang ditetapkan, hanya merugikan rakyat negeri Selangor sahaja.
“Jelas kebajikan rakyat bukan lagi jadi keutamaan tetapi lebih kepada permainan politik sempit. Sudahlah banyak janji gagal ditunaikan, sekarang hak rakyat pula cuba dirampas”, katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tekanan serta syarat yang dikenakan oleh kerajaan negeri terhadap inisiatif YBK Selangor untuk membangunkan tanah seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang menerusi tanah miliknya yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar 1995.
Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor juga dikatakan mahu merampas tanah milik YBK, selain mahu yayasan itu memberhentikan segala kegiatannya serta merta sekiranya enggan mematuhi syarat ditetapkan.
Suhaimi yang juga Ketua Pemuda Sepang seterusnya menambah jika projek ini dibenarkan maka ianya bakal menempatkan 5,000 pelajar kampus UiTM dan dijangka menghasilkan pulangan melebihi RM1 bilion.
“Bukankah ini akan menguntungkan rakyat khususnya penduduk di kawasan berkenaan?
“Limpahan projek pembangunan bernilai RM300 juta ini juga akan dirasai oleh banyak pihak dan tidak kurang pentingnya ia bakal memartabatkan lagi institusi keilmuan negara. Apakah pimpinan pakatan pembangkang buta menilai perkara ini?”, soalnya.
Justeru beliau berharap agar kerajaan negeri tidak menjadi seperti kata bidalan “umpama beruk mendapat bunga”.
“Mereka sudah dapat kuasa tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk memerintah khususnya menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat”, ujarnya.
Selamat datang ke laman web YBhg Hj Suhaimi, Ketua Pemuda UMNO Selangor.