In: Berita Pemuda
4 Nov 2009Puchong — Kerajaan negeri Selangor tidak sepatutnya berdolak dalih untuk cuci tangan berkenaan kejadian penangkapan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Ahad lalu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Azmir Yuzaimi Yusof berkata kerajaan negeri juga sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya meletakkan beban isu tersebut ke atasJAIS semata-mata.
Menurut beliau JAIS merupakan institusi yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sudah pasti segala tindakan serta peraturan yang dilaksanakan mengikut garis panduan yang diambil oleh kerajaan Selangor.
“Kerajaan negeri dilihat seolah-olah cuba lepas tangan dengan menjadikan JAIS kambing hitam.
“Kalau sesuatu terjadi terhadap kerajaan negeri yang dikuasai BN, pandai pula mereka meminta Menteri Besar bertanggungjawab”, katanya di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penahanan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Ahad lalu.
Ekoran itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menggesa Jabatan JAIS memberikan penjelasan yang munasabah kepada orang awam berkenaan kejadian penangkapan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Sambil melahikan rasa kesalnya di atas penangkapan berkenaan, Azmir yang juga Ketua Pemuda UMNO Puchong seterusnya berkata JAIS khususnya kerajaan negeri agar tidak bersikap dwi standard.
Soal beliau apakah tindakan dan peranan JAIS terhadap khatib serta imam jemputan lain yang memberikan khutbah Jumaat dan sebagainya.
“Banyak yang kita dengar ramai khatib atau penceramah jemputan dari luar datang masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini membaca khutbah dan berceramah melepas geram menghentam dengan penuh emosi pihak-pihak tertentu.
“Persoalannya, adakah khatib dan penceramah ini mendapat tauliah. Patutkah perkara ini dihalalkan dan dipejamkan mata. Ke mana perginya JAIS dalam soal ini”, ujarnya
Selamat datang ke laman web YBhg Hj Suhaimi, Ketua Pemuda UMNO Selangor.