In: Berita Pemuda
5 Jan 2010Shah Alam – Pemuda UMNO Selangor menggesa agar semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik agar bersatu bagi mempertahankan Islam serta menjunjung sembah dan campur tangan daripada Majlis Raja-raja Melayu khususnya Yang DiPertuan Agong bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Catholic Weekly.
Pada masa yang sama Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata pihaknya juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyelesaikan isu tersebut bagi meredakan kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini.
Justeru tegas beliau pihaknya memohon kerjasama daripada KDN untuk mempercepatkan proses rayuan kepada mahkamah bagi menarik balik kebenaran yang diberikan.
“Kita juga sudah menyediakan satu memorandum dan akan menyerahkannya kepada KDN dalam masa terdekat.
“Kita berharap KDN dapat mempertahankan penggunaan kalimah Allah khusus untuk agama Islam sahaja”, katanya dalam satu sidang bersama kepimpinan Pemuda UMNO Selangor di sini, Isnin.
Beliau juga berkata pihaknya akan menghormati nasihat dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu umat Islam di negara ini bertenang dan tidak menyertai aktiviti-aktiviti rapat umum biarpun isu tersebut amat sensetif.
“Walaupun kita menyifatkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain dilihat sebagai satu penghinaan besar namun kita tidak akan bertindak di luar batasan.
“Ternyata apa yang berlaku amat mengelirukan dan boleh memecahbelahkan keutuhan perpaduan di dalam negara jika dibiarkan berpanjangan”, ujarnya.
Pemuda Selangor kata beliau lagi meminta agar satu peraturan khusus diperkenalkan bagi penggunaan kalimah Allah hanya kepada orang Islam di negara ini.
“Ini penting bagi menjamin kesucian agama Islam di negara ini terus terpelihara kerana dalam konteks Malaysia kalimah Allah merujuk kepada Tuhan hanya untuk umat Islam sahaja”, katanya.
Tambah beliau lagi pihaknya juga berharap agar agama lain menghormati perasaan umat Islam di negara ini sebagai mana penganut Islam menghormati kebebasan agama lain.
Selamat datang ke laman web YBhg Hj Suhaimi, Ketua Pemuda UMNO Selangor.